Sunday 4 March 2012

JIWA & RAGA


DAN janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu suatu perbuatan keji. Dan suatu jalan yang buruk.”  Surah al-Israa’: ayat 32

DARI mata jatuh ke hati, ke kalbu, ke sukma... kemudian jatuh terjunam ke dalam gaung gelap...
Ini sebuah lagi versi pengembaraan cinta selepas episod Cinta @ Marijuana. Sebuah riwayat cinta yang asyik-maksyuk, dialami spesies manusia yang bodoh sejak zaman-berzaman. Ini disorot dari sudut falsafah dan psikologi, dan penulis merayu pihak bertanggungjawab berusaha mewartakan bahawa bercinta itu suatu kesalahan moral yang patut dilarang sekeras-kerasnya. Gazetkan saja pemabuk cinta itu kesalahannya seberat pelamun marijuana. Lebih psikologikal, kirimlah notis kepada masyarakat, bahawa cinta itu candu yang lebih merosakkan daripada marijuana.

(1). EPISODNYA dinaratifkan begini... kali pertama pasangan sensasi itu terserempak di sebuah kaki lima bangunan kedai runcit sebuah pecan harian rakyat kemacar.
Mereka berpapasan, lalu saling berpaling ke belakang, dan entah bagaimana mereka boleh bertatapan mata... satu saat, dua saat..., lalu melarat sepuluh saat lamanya. Kemudian, perlahan-lahan, si lelaki mengisyaratkan cintanya lewat satu lirikan mata yang romantik dan menggoda. Ia satu lirikan yang sungguh mendebarkan jantung.
Bukankah sinar mata adalah suatu kuasa sihir yang ampuh dan berbisa?
Eh, dibalas pula si gadis lewat senyuman kecil. Ia senyuman unik, yang peri manisnya tidak dapat ditafsirkan mana-mana kamus pun.
Dan mereka berkenalan... bertukar-tukar nombor telefon, mengharap semoga ini bukan pertemuan terakhir.
‘Kita pasti akan jumpa lagi, manisku.’
‘Ya?’
Oh, semalaman itu si gadis tidak dapat tidur lena. Seekor hantu cinta telah sesat dalam otaknya.
Mereka bertemu lagi. Kini mereka berpimpinan tangan. Mereka berdua kelihatan romantik. Agaknya seperti sepasang kelinci putih di tepi kolam, kata penyair sasau kita itu. Akan tetapi, ia tidak terjadi semudah itu. Pada mulanya si lelaki gementar kala mahu menyentuhi tangan si gadis. Si gadis menepis tangan si lelaki, kononnya untuk menzahirkan dirinya masih bermaruah. Lagi pula dia malu untuk membiarkan tangannya disentuh sebegitu mudah; itu hanya menunjukkan dirinya murahan, meskipun dia sangat mendambakannya. Akhirnya dia memegang tangan si gadis dan menciumnya. Gerakannya sekelip mata. Oh, suatu tindakan bijak yang disedari si lelaki sendiri!
Si lelaki hampir setiap hari melafazkan kata-kata cumbuan. Kata-kata yang manisnya bak madu. Lantaran jiwa si gadis kesepian, dan dia mulai tumbuh sebagai anak gadis yang normal nalurinya, ingin dibelai, disayangi dan menyayangi seseorang yang berbeza jantina, dia mempercayai kata-kata si lelaki. Hari-hari si gadis menerima pujian, yang... oh, penuh campuran penipuan, atau pujian yang melampau-lampau bombastiknya.
Kan perempuan macam kucing, gemar dibelai-belai?
Puja si lelaki, ‘pipimu macam pauh dilayang, matamu bak bintang kejora, hidungmu seperti seludang mayang, keningmu persis taji ayam laga, bibirmu ibarat delima merekah, lehermu tamsil...’
Entah dari kamus klasik mana si lelaki itu menciplaknya. Kini si gadis sedang leka bermain angan-angan. Dia kini sedang asyik dilambung ombak cinta yang tinggi menggunung.
Apa yang sudah terjadi kepada dirinya?
Oh, dia sudah berpindah ke dunia lain bersama si lelaki. Dia kini hidup dalam dunia khayali (untuk perhatian: dunia khayali ini cuma boleh dilawati spesies yang menagih cinta, melamun marijuana, atau yang mengalami sejenis gangguan mental). Jiwanya tidak lagi di sini. Ini macam sesetengah sasterawan di negara kita, bergentayangan di angkasaraya. Dia kini seorang insan perindu. Setiap saat dia asyik teringatkan si lelaki sahaja. Semua tingkahlakunya serba tidak kena.
Sebetulnya si lelaki seseorang yang tidak begitu tampan. Akan tetapi, peduli apa dengan ketampanan, katanya! Berapa ramai wanita yang berkahwin kerana ketampanan? Dia amat mempercayai begitu, dan itulah kekuatan atau inspirasinya. Tak perlu ubat guna-guna, ajunya lagi. Kelebihannya pula, dia pandai menggubah kata-kata pujian yang bombastik, macamlah juga sesetengah sasterawan. Lebih istimewa, kenal Sigmund Freud? Dia meniru Freud, menjadi pembicara yang baik dengan kurang bercakap, hanya melatih dirinya banyak mendengar, melayani dan menghargai apa jua luahan kata-kata si gadis.
Ironinya, si gadis seorang perempuan yang cantik-jelita-anggun. Bangun tubuhnya sederhana, berkulit cerah, bersuara manja-lunak, dan matanya, oh, cantik sungguh, sukar diperikan sekali, agaknya macam Bintang Timur. Bolehlah diimaginasikan peri dirinya secantik puteri kayangan dalam otak orang-orang Melayu yang penuh unsur-unsur feudal dan tahyul itu. Nyatanya, menurut persepsi rata-riti lelaki lain, dia memiliki suatu tarikan magis yang tersendiri.
Sebenarnya dia selalu diusik pelajar-pelajar lelaki di sekolahnya. Bukannya dia tidak mahu menerima lamaran salah seorang pelajar lelaki, yang memang kacak dan popular di sekolahnya itu, yang sudah lama tergila-gilakannya. Akan tetapi, dia tidak begitu meyakini cinta pelajar itu. Sebaliknya, pelajar itu juga masih bodoh, pengalaman cintanya sifar, dan dia nampaknya tidak begitu ikhlas, atau bersungguh-sungguh mahu memiliki dirinya. Ini biasa, seperti wanita lain, si gadis perlu diyakinkan bahawa dirinya memang dicintai sepenuh hati!
Apabila si lelaki dan si gadis bertemu, mereka tidak mahu berbicara tentang hal-hal yang selain daripada kata-kata sinonim ini... cinta, kasih, saying, rindu dan entah apa-apa lagilah, seolah-olah hanya benda itulah yang ada di atas mukabumi yang terbentang saujana luas ini.
Malam-malam si gadis dilanda kegelisahan... dia serba salah, dan tidak menentu, tidak ketahuan rasa jadinya. Sesekali dia berasa khuatir dan cemburu. Sesekali dia merindui si lelaki..., apalah agaknya yang sedang dilakukannya! Pusat pemikirannya satu... si lelaki. Sekiranya dia terpandang sesuatu, misalnya warna biru, dia akan segera mengaitkannya dengan si lelaki, bahawa si lelaki pernah memakai baju yang berwarna seperti itu. Dia menjadi mudah tersentuh dan sensitif orangnya. Dia akan merengus apabila lamunan asyiknya diganggu.
Dan dia kerap merajuk, lalu mohon dipujuk dalam banyak hal, terutamanya dalam soal yang sangat remeh-temeh. Misalnya, jika si lelaki datang lewat apabila mereka berjanji. Sebenarnya semua ini hanya untuk memastikan sama ada si lelaki menyayanginya atau tidak, dan demi memuaskan hatinya. Segala-galanya ini demi perhatian dan kasih-sayang, yang kononnya hampir pupus dalam dunia yang tandus dan kejam ini. Dan si lelaki memang seorang yang bijak dalam lengkok-lurus psyche wanita yang lemah dan bertulang rusuk bengkok itu. Dia selalu mengelak berdusta, kerana dia sedar perempuan memang sensitif jika diketahui dirinya dibohongi.
Tentu sedikit tidak logik pada fikiran orang dewasa, jika dijelaskan bahawa si gadis mengharapkan si lelaki itu bakal suaminya. Kalau boleh, dia mahu dikahwini segera, dan pedulikan saja apa akan jadi kemudian. Apa-apapun, semua ini rasional dan masih lagi masuk akal. Anda harus diperingatkan, ini cinta pertama si gadis.
Bukankah seseorang itu amat mempercayai kekasihnya saat-saat pertama kenal cinta?
Anda sudah lupa, anda juga demikian suatu masa dahulu...
Setiap hari si lelaki akan menghubungi si gadis. Dia akan mengucapkan kata-kata yang manis, tapi ini bukan bermakna dia tidak ikhlas apabila memuji. Ini ikhlas, dan tercetus dari kesedarannya bahawa si gadis memang cantik di matanya yang rambang itu, dan keseksian si gadis menyeksa batinnya selalu. Cuma kata-kata itu terlalu bombastik. Argh pujian, ramai orang alergik dengannya! Kita tahu sesuatu pujian itu dusta, tetapi kita tetap cenderung mahu mempercayainya, kerana pujian apabila dilayani, ia memang mengasyikkan.
Tatkala keluar bersama, mereka akan menghabiskan waktu dengan plot yang sama. Satu lagi, apabila keluar bersama, si gadis yang kerapkali menanggung semua kos perbelanjaan, makan-minum, tiket wayang, malah rokok si lelaki, meskipun selama ini dia agak berkira dalam soal wang. Adiknya meminta belikan coklat pun, dia berkira; kawan pinjam duit sepuluh sen pun, dia akan minta tanpa segan. Kan wanita spesies yang cermat dan cenderung kedekut? Akan tetapi, demi si lelaki, demi cinta, dia tidak mengambil peduli semua itu. Yang penting dia dapat membahagiakan si lelaki. Maksudnya, dia ingin berkorban dengan memahami masalah kemelesetan pengangguran, apatah lagi dia anak seorang yang berada, dan negara pula dilanda kegawatan ekonomi. Dan dia bangga berbuat begitu.
Tentunya apabila selalu keluar bersama sesuatu yang tidak mahu disangkakan akan terjadi.
Mereka terserempak dengan orang tua masing-masing?
Tidak!
Ia sesuatu yang lain.
Yang sebenarnya, mereka telahpun mengisytiharkan diri mereka satu. Sehati sejiwa sinonimnya satu. Maksudnya, cinta selalunya takkan sampai ke tingkat yang teratas jika tidak ada hubungan lahiriah, iaitu cinta yang dirasuki setan!
Jiwa tidak lengkap tanpa raganya, dan jiwa yang kesepian akan merayau-rayau mencari raganya.
Mula-mula tangan si gadis, lepas itu rambut, lepas itu pipi, lepas itu leher, lepas itu bibir, lepas itu buah dada, dan akhirnya... (censored, anda jangan cuba bayangkannya; peri kejinya bayangkan saja sekelamin anjing berjimak).
Si gadis benar-benar berhijrah ke dunia khayali kini. Lihatlah! Dia kini terapung-apungan di balik awan-gemawan yang biru lazuardi. Dia fana seluruhnya. Matanya terpejam rapat.
Akhirnya dia kembali jatuh terhempas ke bumi, ke tanah, lalu terbukalah kelopak matanya.
‘Di mana kita, sayang?’
Si gadis menangis teresak-esak kala menyedari dirinya tidak lagi bernama gadis dalam kamus yang satu lagi itu. Sekarang si gadis bernama si perempuan, meskipun si lelaki tetap bernama si lelaki.
Pelik, bukan? (Inilah agaknya yang diperjuangkan kaum penulis feminisme yang cetek akal itu).
Dia menangis tersedu-sedan, dan menyesal sungguh. Tangannya memukul-mukul dada si lelaki, sambil mengingati wajah ibu dan keluarganya. Inilah, fikirnya, kebenaran pesan gurunya, ‘jangan hampiri cinta. Ia umpama api yang akan membakar seluruh jiwa!’
Akan tetapi, kesedarannya hanya sementara belaka. Si lelaki memujuknya usah cemas usah panik. Dia akan bertanggungjawab sepenuhnya.
‘Kita akan berkahwin, sayang.’
‘Bila?’
‘Nantilah, jika ekonomi negara sudah pulih nanti...’
Oh, asyik-asyik ekonomi negara juga yang dipersalahkan.
Si lelaki memeluknya erat. Si perempuan kembali berasa selamat dan aman dalam dakapan si lelaki. Ini pengalaman pertama mereka, malam pertama pasangan pengantin haram. Babak haram ini berulang lagi pada malam itu juga. Dan si perempuan mulai mengerti, inilah yang sebenarnya digelar cinta yang sebenar-benar cinta. Inilah madu kehidupan yang sedap paling tak terkata.
Beberapa hari kemudian mereka bertemu lagi, dan berulang lagi babak-babak itu... si perempuan hanyut dalam belaian dan cumbuan si lelaki.
Ini berterusan pada hari-hari berikutnya. Si perempuan tidak lagi kekok atau canggung diperlakukan sedemikian, meskipun masih ada sisa-sisa perasaan malu dan bersalah dalam dirinya. Argh, apabila luput perasaan malu dalam diri, perempuan adalah separuh setan! Kini dia sendiri pula yang lebih-lebih menagihinya. Dia akan faham dan amat mengerti apabila si lelaki mengajaknya bertemu di sekian tempat pada sekian jam.
Maksudnya satu... hubungan itu.
Jika mereka tidak bertemu agak lama, si perempuan akan resah-gelisah sepanjang malam, dan melarat ke awal pagi. Dia semacam penagih marijuana yang kronik, dan setiap kecanduan adalah memudaratkan diri, kata Carl Jung, tak kira apa-apapun. Kini dia menjadi moody dan mudah marah-marah.
Suatu hari lain si perempuan keluar ke pekan bersama ibunya. Maaf, jangan ketawakan saya, apa yang akan saya ceritakan ini, macam rentetan babak dalam filem Melayu kita. Si perempuan ternampak sesuatu... dia terlihat si lelaki sedang memimpin tangan seorang gadis lain.
Betulkah? Dia seakan-akan tidak percaya!
Tidak, tidak, tidak, jerit batinnya!
Riak wajahnya bertukar pucat-pasi, dan segala-galanya seperti mimpi yang dahsyat, ganas dan sarat tahyul. Dia pulang dan menangis sepanjang malam sepanjang siang. Dia menangis tersedu-sedu di dalam biliknya tanpa sesiapa mempedulikannya. Dia terfikir, adakah segala-galanya ini mimpi? Dia telah kehilangan sesuatu yang berharga dalam mimpinya, dan kali ini dia menyumpah-seranah si lelaki...
‘Jantan keparat, bangsat!’
Berbalik kepada si lelaki, dia sebenarnya tidak berniat jahat kepada si perempuan pada awalnya. Cintanya sungguh tulus, cuma dia mulai berubah fikiran kala dia telah sampai ke kemuncak itu. Fikirnya, perempuan semurah itu, apakah layak dijadikan isteri?
Jadi, dia menganggap si perempuan tidak lagi istimewa, dan tidak lagi menjadi rahsia. Sesuatu itu bernilai ketika ia masih diselaputi dara... opps, bukan dara..., rahsia. Bukankah andai emas kedapatan seperti batu di jalanan, ia tidak bernilai apa-apa?
Itu biasa, ramai orang begitu, bukan?
Sebetulnya, u-topia kebanyakan lelaki adalah gadis yang pandai menjaga mahkota kehormatan dirinya, meskipun mereka sendiri sentiasa mahu merosakkannya. Cinta... ia sebenarnya macam sejenis permainan... kita ingin mendapatkannya, dan sedia mempertaruhkan apa-apa saja, tetapi apabila kita memperolehinya, ia sudah tidak bererti apa-apa lagi.
Tidakkah cinta itu pelik? Cinta memang gila, bukan?
Bayangkan jika si perempuan tidak membenarkannya berbuat demikian... apakah cintanya tetap utuh dan teguh?
Persetankan saja si lelaki itu! Biarkan dia mengejar kebahagiaannya yang tersasar itu. Biarkan dia mabuk sendiri. Biarkan dia sesat di dalam rimbaraya cinta. Biarkan dia sasau sendiri. Kita lupakan saja dia.
Sekarang kita kembali memperkatakan si perempuan tadi... di sini, saya si pencatat cerita ini, ingin bertanya anda...
‘Apa perasaan anda jika anda si perempuan malang itu?’
Pedulikanlah pandangan anda! Yang pasti, segala-galanya itu telah musnah dalam hidup si perempuan. Tidak ada gunanya lagi dia menangis, meskipun airmatanya selautan darah, tidak ada ertinya lagi semua itu.
Dipendekkan cerita, suatu hari yang lain, si perempuan merasai sesuatu yang tidak selesa pada seleranya. Dia berasa loya dan mual. Lantas termuntah-muntah. Ibunya hairan..., ‘apa kena budak ‘ni?’ apakah dia keracunan arsenik macam difitnahkan terjadi kepada Anwar Ibrahim itu?
Tatkala doktor memaklumkan dengan wajah yang berkerut seribu, ‘awak hamil tiga bulan,’ dia amat cemas dan ketakutan. Segala-galanya seperti serangan taufan yang kuat lagi tajam. Ia menghempas dan mengheret pergi kesemuanya entah ke dunia mana. Dia sasau dan hampir pengsan.
Dia bimbang ke manakah akan disembunyikan perutnya yang makin hari makin membesar itu? Dan semenjak hari itu dia tidak lagi kelihatan. Ceritanya akan dijedakan di sini seketika.
Enam bulan berlalu..., suatu peristiwa yang selalu dipaparkan di skrin televisyen berulang lagi. Seorang bayi dijumpai berhampiran tong sampah, dihurungi lalat-lalat hijau...
Anda tentu tidak teragak-agak lagi untuk meneka siapa bapa dan ibu bayi malang itu dalam hubungan cerita ini.
Oh, alangkah mudahnya semua ini terjadi, dan alangkah pelik dan kerasnya penangan cinta!
Saya memohon maaf, ini imaginasi bebas saya, tetapi saya tidak menulis sesuatu dari kekosongan. Cinta itu memang naluri manusia. Ia akan menjadi kosong apabila kita telah sampai di kemuncaknya. Ya, selepas ke kemuncak ke mana lagi harus didaki?
Terjunlah anda ke gaung!
Dan apakah anda sekarang sedang asyik-maksyuk bercinta?

#petikan cerpen dari buku Dongeng Pascamerdeka, Azman Hussin, 2001

2 comments: