Sunday 4 March 2012

JIWA & RAGA


DAN janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu suatu perbuatan keji. Dan suatu jalan yang buruk.”  Surah al-Israa’: ayat 32

DARI mata jatuh ke hati, ke kalbu, ke sukma... kemudian jatuh terjunam ke dalam gaung gelap...
Ini sebuah lagi versi pengembaraan cinta selepas episod Cinta @ Marijuana. Sebuah riwayat cinta yang asyik-maksyuk, dialami spesies manusia yang bodoh sejak zaman-berzaman. Ini disorot dari sudut falsafah dan psikologi, dan penulis merayu pihak bertanggungjawab berusaha mewartakan bahawa bercinta itu suatu kesalahan moral yang patut dilarang sekeras-kerasnya. Gazetkan saja pemabuk cinta itu kesalahannya seberat pelamun marijuana. Lebih psikologikal, kirimlah notis kepada masyarakat, bahawa cinta itu candu yang lebih merosakkan daripada marijuana.

(1). EPISODNYA dinaratifkan begini... kali pertama pasangan sensasi itu terserempak di sebuah kaki lima bangunan kedai runcit sebuah pecan harian rakyat kemacar.
Mereka berpapasan, lalu saling berpaling ke belakang, dan entah bagaimana mereka boleh bertatapan mata... satu saat, dua saat..., lalu melarat sepuluh saat lamanya. Kemudian, perlahan-lahan, si lelaki mengisyaratkan cintanya lewat satu lirikan mata yang romantik dan menggoda. Ia satu lirikan yang sungguh mendebarkan jantung.
Bukankah sinar mata adalah suatu kuasa sihir yang ampuh dan berbisa?
Eh, dibalas pula si gadis lewat senyuman kecil. Ia senyuman unik, yang peri manisnya tidak dapat ditafsirkan mana-mana kamus pun.
Dan mereka berkenalan... bertukar-tukar nombor telefon, mengharap semoga ini bukan pertemuan terakhir.
‘Kita pasti akan jumpa lagi, manisku.’
‘Ya?’
Oh, semalaman itu si gadis tidak dapat tidur lena. Seekor hantu cinta telah sesat dalam otaknya.
Mereka bertemu lagi. Kini mereka berpimpinan tangan. Mereka berdua kelihatan romantik. Agaknya seperti sepasang kelinci putih di tepi kolam, kata penyair sasau kita itu. Akan tetapi, ia tidak terjadi semudah itu. Pada mulanya si lelaki gementar kala mahu menyentuhi tangan si gadis. Si gadis menepis tangan si lelaki, kononnya untuk menzahirkan dirinya masih bermaruah. Lagi pula dia malu untuk membiarkan tangannya disentuh sebegitu mudah; itu hanya menunjukkan dirinya murahan, meskipun dia sangat mendambakannya. Akhirnya dia memegang tangan si gadis dan menciumnya. Gerakannya sekelip mata. Oh, suatu tindakan bijak yang disedari si lelaki sendiri!
Si lelaki hampir setiap hari melafazkan kata-kata cumbuan. Kata-kata yang manisnya bak madu. Lantaran jiwa si gadis kesepian, dan dia mulai tumbuh sebagai anak gadis yang normal nalurinya, ingin dibelai, disayangi dan menyayangi seseorang yang berbeza jantina, dia mempercayai kata-kata si lelaki. Hari-hari si gadis menerima pujian, yang... oh, penuh campuran penipuan, atau pujian yang melampau-lampau bombastiknya.
Kan perempuan macam kucing, gemar dibelai-belai?
Puja si lelaki, ‘pipimu macam pauh dilayang, matamu bak bintang kejora, hidungmu seperti seludang mayang, keningmu persis taji ayam laga, bibirmu ibarat delima merekah, lehermu tamsil...’
Entah dari kamus klasik mana si lelaki itu menciplaknya. Kini si gadis sedang leka bermain angan-angan. Dia kini sedang asyik dilambung ombak cinta yang tinggi menggunung.
Apa yang sudah terjadi kepada dirinya?
Oh, dia sudah berpindah ke dunia lain bersama si lelaki. Dia kini hidup dalam dunia khayali (untuk perhatian: dunia khayali ini cuma boleh dilawati spesies yang menagih cinta, melamun marijuana, atau yang mengalami sejenis gangguan mental). Jiwanya tidak lagi di sini. Ini macam sesetengah sasterawan di negara kita, bergentayangan di angkasaraya. Dia kini seorang insan perindu. Setiap saat dia asyik teringatkan si lelaki sahaja. Semua tingkahlakunya serba tidak kena.
Sebetulnya si lelaki seseorang yang tidak begitu tampan. Akan tetapi, peduli apa dengan ketampanan, katanya! Berapa ramai wanita yang berkahwin kerana ketampanan? Dia amat mempercayai begitu, dan itulah kekuatan atau inspirasinya. Tak perlu ubat guna-guna, ajunya lagi. Kelebihannya pula, dia pandai menggubah kata-kata pujian yang bombastik, macamlah juga sesetengah sasterawan. Lebih istimewa, kenal Sigmund Freud? Dia meniru Freud, menjadi pembicara yang baik dengan kurang bercakap, hanya melatih dirinya banyak mendengar, melayani dan menghargai apa jua luahan kata-kata si gadis.
Ironinya, si gadis seorang perempuan yang cantik-jelita-anggun. Bangun tubuhnya sederhana, berkulit cerah, bersuara manja-lunak, dan matanya, oh, cantik sungguh, sukar diperikan sekali, agaknya macam Bintang Timur. Bolehlah diimaginasikan peri dirinya secantik puteri kayangan dalam otak orang-orang Melayu yang penuh unsur-unsur feudal dan tahyul itu. Nyatanya, menurut persepsi rata-riti lelaki lain, dia memiliki suatu tarikan magis yang tersendiri.
Sebenarnya dia selalu diusik pelajar-pelajar lelaki di sekolahnya. Bukannya dia tidak mahu menerima lamaran salah seorang pelajar lelaki, yang memang kacak dan popular di sekolahnya itu, yang sudah lama tergila-gilakannya. Akan tetapi, dia tidak begitu meyakini cinta pelajar itu. Sebaliknya, pelajar itu juga masih bodoh, pengalaman cintanya sifar, dan dia nampaknya tidak begitu ikhlas, atau bersungguh-sungguh mahu memiliki dirinya. Ini biasa, seperti wanita lain, si gadis perlu diyakinkan bahawa dirinya memang dicintai sepenuh hati!
Apabila si lelaki dan si gadis bertemu, mereka tidak mahu berbicara tentang hal-hal yang selain daripada kata-kata sinonim ini... cinta, kasih, saying, rindu dan entah apa-apa lagilah, seolah-olah hanya benda itulah yang ada di atas mukabumi yang terbentang saujana luas ini.
Malam-malam si gadis dilanda kegelisahan... dia serba salah, dan tidak menentu, tidak ketahuan rasa jadinya. Sesekali dia berasa khuatir dan cemburu. Sesekali dia merindui si lelaki..., apalah agaknya yang sedang dilakukannya! Pusat pemikirannya satu... si lelaki. Sekiranya dia terpandang sesuatu, misalnya warna biru, dia akan segera mengaitkannya dengan si lelaki, bahawa si lelaki pernah memakai baju yang berwarna seperti itu. Dia menjadi mudah tersentuh dan sensitif orangnya. Dia akan merengus apabila lamunan asyiknya diganggu.
Dan dia kerap merajuk, lalu mohon dipujuk dalam banyak hal, terutamanya dalam soal yang sangat remeh-temeh. Misalnya, jika si lelaki datang lewat apabila mereka berjanji. Sebenarnya semua ini hanya untuk memastikan sama ada si lelaki menyayanginya atau tidak, dan demi memuaskan hatinya. Segala-galanya ini demi perhatian dan kasih-sayang, yang kononnya hampir pupus dalam dunia yang tandus dan kejam ini. Dan si lelaki memang seorang yang bijak dalam lengkok-lurus psyche wanita yang lemah dan bertulang rusuk bengkok itu. Dia selalu mengelak berdusta, kerana dia sedar perempuan memang sensitif jika diketahui dirinya dibohongi.
Tentu sedikit tidak logik pada fikiran orang dewasa, jika dijelaskan bahawa si gadis mengharapkan si lelaki itu bakal suaminya. Kalau boleh, dia mahu dikahwini segera, dan pedulikan saja apa akan jadi kemudian. Apa-apapun, semua ini rasional dan masih lagi masuk akal. Anda harus diperingatkan, ini cinta pertama si gadis.
Bukankah seseorang itu amat mempercayai kekasihnya saat-saat pertama kenal cinta?
Anda sudah lupa, anda juga demikian suatu masa dahulu...
Setiap hari si lelaki akan menghubungi si gadis. Dia akan mengucapkan kata-kata yang manis, tapi ini bukan bermakna dia tidak ikhlas apabila memuji. Ini ikhlas, dan tercetus dari kesedarannya bahawa si gadis memang cantik di matanya yang rambang itu, dan keseksian si gadis menyeksa batinnya selalu. Cuma kata-kata itu terlalu bombastik. Argh pujian, ramai orang alergik dengannya! Kita tahu sesuatu pujian itu dusta, tetapi kita tetap cenderung mahu mempercayainya, kerana pujian apabila dilayani, ia memang mengasyikkan.
Tatkala keluar bersama, mereka akan menghabiskan waktu dengan plot yang sama. Satu lagi, apabila keluar bersama, si gadis yang kerapkali menanggung semua kos perbelanjaan, makan-minum, tiket wayang, malah rokok si lelaki, meskipun selama ini dia agak berkira dalam soal wang. Adiknya meminta belikan coklat pun, dia berkira; kawan pinjam duit sepuluh sen pun, dia akan minta tanpa segan. Kan wanita spesies yang cermat dan cenderung kedekut? Akan tetapi, demi si lelaki, demi cinta, dia tidak mengambil peduli semua itu. Yang penting dia dapat membahagiakan si lelaki. Maksudnya, dia ingin berkorban dengan memahami masalah kemelesetan pengangguran, apatah lagi dia anak seorang yang berada, dan negara pula dilanda kegawatan ekonomi. Dan dia bangga berbuat begitu.
Tentunya apabila selalu keluar bersama sesuatu yang tidak mahu disangkakan akan terjadi.
Mereka terserempak dengan orang tua masing-masing?
Tidak!
Ia sesuatu yang lain.
Yang sebenarnya, mereka telahpun mengisytiharkan diri mereka satu. Sehati sejiwa sinonimnya satu. Maksudnya, cinta selalunya takkan sampai ke tingkat yang teratas jika tidak ada hubungan lahiriah, iaitu cinta yang dirasuki setan!
Jiwa tidak lengkap tanpa raganya, dan jiwa yang kesepian akan merayau-rayau mencari raganya.
Mula-mula tangan si gadis, lepas itu rambut, lepas itu pipi, lepas itu leher, lepas itu bibir, lepas itu buah dada, dan akhirnya... (censored, anda jangan cuba bayangkannya; peri kejinya bayangkan saja sekelamin anjing berjimak).
Si gadis benar-benar berhijrah ke dunia khayali kini. Lihatlah! Dia kini terapung-apungan di balik awan-gemawan yang biru lazuardi. Dia fana seluruhnya. Matanya terpejam rapat.
Akhirnya dia kembali jatuh terhempas ke bumi, ke tanah, lalu terbukalah kelopak matanya.
‘Di mana kita, sayang?’
Si gadis menangis teresak-esak kala menyedari dirinya tidak lagi bernama gadis dalam kamus yang satu lagi itu. Sekarang si gadis bernama si perempuan, meskipun si lelaki tetap bernama si lelaki.
Pelik, bukan? (Inilah agaknya yang diperjuangkan kaum penulis feminisme yang cetek akal itu).
Dia menangis tersedu-sedan, dan menyesal sungguh. Tangannya memukul-mukul dada si lelaki, sambil mengingati wajah ibu dan keluarganya. Inilah, fikirnya, kebenaran pesan gurunya, ‘jangan hampiri cinta. Ia umpama api yang akan membakar seluruh jiwa!’
Akan tetapi, kesedarannya hanya sementara belaka. Si lelaki memujuknya usah cemas usah panik. Dia akan bertanggungjawab sepenuhnya.
‘Kita akan berkahwin, sayang.’
‘Bila?’
‘Nantilah, jika ekonomi negara sudah pulih nanti...’
Oh, asyik-asyik ekonomi negara juga yang dipersalahkan.
Si lelaki memeluknya erat. Si perempuan kembali berasa selamat dan aman dalam dakapan si lelaki. Ini pengalaman pertama mereka, malam pertama pasangan pengantin haram. Babak haram ini berulang lagi pada malam itu juga. Dan si perempuan mulai mengerti, inilah yang sebenarnya digelar cinta yang sebenar-benar cinta. Inilah madu kehidupan yang sedap paling tak terkata.
Beberapa hari kemudian mereka bertemu lagi, dan berulang lagi babak-babak itu... si perempuan hanyut dalam belaian dan cumbuan si lelaki.
Ini berterusan pada hari-hari berikutnya. Si perempuan tidak lagi kekok atau canggung diperlakukan sedemikian, meskipun masih ada sisa-sisa perasaan malu dan bersalah dalam dirinya. Argh, apabila luput perasaan malu dalam diri, perempuan adalah separuh setan! Kini dia sendiri pula yang lebih-lebih menagihinya. Dia akan faham dan amat mengerti apabila si lelaki mengajaknya bertemu di sekian tempat pada sekian jam.
Maksudnya satu... hubungan itu.
Jika mereka tidak bertemu agak lama, si perempuan akan resah-gelisah sepanjang malam, dan melarat ke awal pagi. Dia semacam penagih marijuana yang kronik, dan setiap kecanduan adalah memudaratkan diri, kata Carl Jung, tak kira apa-apapun. Kini dia menjadi moody dan mudah marah-marah.
Suatu hari lain si perempuan keluar ke pekan bersama ibunya. Maaf, jangan ketawakan saya, apa yang akan saya ceritakan ini, macam rentetan babak dalam filem Melayu kita. Si perempuan ternampak sesuatu... dia terlihat si lelaki sedang memimpin tangan seorang gadis lain.
Betulkah? Dia seakan-akan tidak percaya!
Tidak, tidak, tidak, jerit batinnya!
Riak wajahnya bertukar pucat-pasi, dan segala-galanya seperti mimpi yang dahsyat, ganas dan sarat tahyul. Dia pulang dan menangis sepanjang malam sepanjang siang. Dia menangis tersedu-sedu di dalam biliknya tanpa sesiapa mempedulikannya. Dia terfikir, adakah segala-galanya ini mimpi? Dia telah kehilangan sesuatu yang berharga dalam mimpinya, dan kali ini dia menyumpah-seranah si lelaki...
‘Jantan keparat, bangsat!’
Berbalik kepada si lelaki, dia sebenarnya tidak berniat jahat kepada si perempuan pada awalnya. Cintanya sungguh tulus, cuma dia mulai berubah fikiran kala dia telah sampai ke kemuncak itu. Fikirnya, perempuan semurah itu, apakah layak dijadikan isteri?
Jadi, dia menganggap si perempuan tidak lagi istimewa, dan tidak lagi menjadi rahsia. Sesuatu itu bernilai ketika ia masih diselaputi dara... opps, bukan dara..., rahsia. Bukankah andai emas kedapatan seperti batu di jalanan, ia tidak bernilai apa-apa?
Itu biasa, ramai orang begitu, bukan?
Sebetulnya, u-topia kebanyakan lelaki adalah gadis yang pandai menjaga mahkota kehormatan dirinya, meskipun mereka sendiri sentiasa mahu merosakkannya. Cinta... ia sebenarnya macam sejenis permainan... kita ingin mendapatkannya, dan sedia mempertaruhkan apa-apa saja, tetapi apabila kita memperolehinya, ia sudah tidak bererti apa-apa lagi.
Tidakkah cinta itu pelik? Cinta memang gila, bukan?
Bayangkan jika si perempuan tidak membenarkannya berbuat demikian... apakah cintanya tetap utuh dan teguh?
Persetankan saja si lelaki itu! Biarkan dia mengejar kebahagiaannya yang tersasar itu. Biarkan dia mabuk sendiri. Biarkan dia sesat di dalam rimbaraya cinta. Biarkan dia sasau sendiri. Kita lupakan saja dia.
Sekarang kita kembali memperkatakan si perempuan tadi... di sini, saya si pencatat cerita ini, ingin bertanya anda...
‘Apa perasaan anda jika anda si perempuan malang itu?’
Pedulikanlah pandangan anda! Yang pasti, segala-galanya itu telah musnah dalam hidup si perempuan. Tidak ada gunanya lagi dia menangis, meskipun airmatanya selautan darah, tidak ada ertinya lagi semua itu.
Dipendekkan cerita, suatu hari yang lain, si perempuan merasai sesuatu yang tidak selesa pada seleranya. Dia berasa loya dan mual. Lantas termuntah-muntah. Ibunya hairan..., ‘apa kena budak ‘ni?’ apakah dia keracunan arsenik macam difitnahkan terjadi kepada Anwar Ibrahim itu?
Tatkala doktor memaklumkan dengan wajah yang berkerut seribu, ‘awak hamil tiga bulan,’ dia amat cemas dan ketakutan. Segala-galanya seperti serangan taufan yang kuat lagi tajam. Ia menghempas dan mengheret pergi kesemuanya entah ke dunia mana. Dia sasau dan hampir pengsan.
Dia bimbang ke manakah akan disembunyikan perutnya yang makin hari makin membesar itu? Dan semenjak hari itu dia tidak lagi kelihatan. Ceritanya akan dijedakan di sini seketika.
Enam bulan berlalu..., suatu peristiwa yang selalu dipaparkan di skrin televisyen berulang lagi. Seorang bayi dijumpai berhampiran tong sampah, dihurungi lalat-lalat hijau...
Anda tentu tidak teragak-agak lagi untuk meneka siapa bapa dan ibu bayi malang itu dalam hubungan cerita ini.
Oh, alangkah mudahnya semua ini terjadi, dan alangkah pelik dan kerasnya penangan cinta!
Saya memohon maaf, ini imaginasi bebas saya, tetapi saya tidak menulis sesuatu dari kekosongan. Cinta itu memang naluri manusia. Ia akan menjadi kosong apabila kita telah sampai di kemuncaknya. Ya, selepas ke kemuncak ke mana lagi harus didaki?
Terjunlah anda ke gaung!
Dan apakah anda sekarang sedang asyik-maksyuk bercinta?

#petikan cerpen dari buku Dongeng Pascamerdeka, Azman Hussin, 2001

DILEMA MELAYU ERA GLOBALISASI

ADA sebuah puisi pendek yang ditulis oleh Lord Byron perihal bangsa Yahudi. Maksudnya lebih kurang begini: kelinci (arnab) ada sarangnya, iaitu di dalam lubang bawah tanah. Burung merpati pun punya sarangnya yang kecil di atas pokok. Tetapi bangsa Yahudi tidak memiliki tanahair. Puisi ini semestinya dikarang sebelum kewujudan negara haram Israel pada tahun 1948.
            Sajak ini menunjukkan betapa pentingnya tanahair atau negara untuk sesebuah bangsa. Yahudilah, sebelum wujudnya negara Israel, satu-satunya bangsa yang tidak memiliki negara yang sah dalam sejarah moden. Mereka adalah bangsa yang bertebaran di mana-mana ceruk dunia.
            Malaysia, dulunya Semenanjung Tanah Melayu, dalam sejarah zaman moden adalah dihuni oleh kaum Melayu. Bumiputera Melayu adalah tuan kepada negara ini. Sama ada Melayu itu asalnya dari benua manapun, bukan persoalan. Sejarah zaman moden mengesahkan orang-orang Melayu adalah penghuni asal Malaysia selain kaum-kaum orang asli di pedalaman, sebelum disertai imigran Cina dan India yang dibawa masuk oleh penjajah Inggeris untuk bekerja di ladang atau di lombong-lombong bijih timah. Untuk dikatakan orang-orang Cina adalah penghuni asal Malaysia, semua mengetahui fakta ini adalah salah. Orang Cina mempunyai susur-galur nenek-moyang mereka di negara China. Orang India pula mempunyai India sebagai negara asal.
            Tulisan ini bukan bermaksud menyuburkan benih perkauman. Tulisan ini diharap rasional untuk menilai masalah Melayu di Malaysia hari ini dan pada masa-masa akan datang, juga masa depan Malaysia.
            Benar, bumi yang luas ini adalah milik Allah swt. Bagi ulama-ulama yang menyertai politik, semua bangsa tidak harus dibezakan. Islam tidak membezakan warna kulit atau bangsa, tetapi ketakwaan. Semua manusia adalah sama, makhluk ciptaan Allah swt. Kenyataan ini kelihatan harmoni dan adil.
            Melayu adalah kaum bumiputera. Orang Melayu mempunyai hak-hak keistimewaan yang termaktub dalam perlembagaan negara.
            Adalah kontradiksi jika kaum Melayu harus mempertahankan hak mereka sebagai tuan rumah. Konsep bertahan begini adalah negatif. Dalam permainan bolasepak, bertahan adalah lemah. Sepatutnya hak tuan rumah sudah terjamin kukuh. Hak tetamulah yang harus dipertahankan.
            Jawapan kepada ulama-ulama politik, bahawa bumi ini adalah milik tuhan untuk semua, adalah sebuah perumpamaan yang akan dikemukakan nanti. Memang apa yang dikatakan ulama ini adalah tepat. Tetapi ini adalah berlawanan dengan konsep hakmilik dalam Islam. Dalam Islam, kita percaya Allah swt yang menciptakan pokok. Tetapi jika pokok itu tumbuh dalam kebun orang, kita wajib meminta izin tuan pokok itu untuk mengambil hatta sehelai daun pokok sekalipun.
            Perjuangan orang Melayu mempertahankan hak mereka memanglah perjuangan kebangsaan. Tetapi perjuangan ini bukanlah berlawan dengan nilai-nilai agama. Kecuali jika kita merampas hak bangsa lain atas nama perjuangan kebangsaan, itu baru dikira assabiyyah yang ditolak agama.
            Sepatutnya hak-hak keistimewaan bumiputera dimansuhkan, dan digantikan dengan hak-hak keistimewaan bukan bumiputera. Perkara yang sama, seperti segelas air yang separuh kosong atau segelas air yang separuh berisi. Misalnya jika selama ini quota bumiputera adalah 70%, maka harus diubah kepada hak keistimewaan bukan bumiputera adalah sebanyak 30%.
             Benar, kaum bukan bumiputera yang banyak memajukan ekonomi negara ini. Ini diakui kerana golongan pendatang memiliki ketahanan dan disiplin yang tinggi. Kuala Lumpur pada asalnya dimajukan oleh kapitan Yap Ah Loy. Mereka berasa terancam dan berusaha gigih untuk survival mereka, sebaliknya kaum Melayu kekal dalam zon selesa. Jika benarpun kaum bukan bumiputera bijak berdagang, kita jangan lupa siapa yang mengayakan mereka. Kaum Melayu yang majoritilah yang menjadi pelanggan mereka. Perdebatan ini akan menjadi panjang dan tidak akan selesai.
            Dalam keadaan politik Malaysia hari ini, keadaan adalah genting dan bahaya. Melayu yang gagal dalam ekonomi, berkemungkinan akan kehilangan kuasa politik atau terpaksa berkongsi kuasa dengan bukan bumiputera. Melayu mungkin mengulangi kisah jenaka Pak Kaduk atau mengulangi sejarah kesultanan Melayu Melaka.
            Sekarang orang Melayu menentang kerajaan yang dominan Melayu yang dituduh korupsi dan sebagainya. Dakwaan ini mungkin benar atau tidak benar, tetapi persepsi bahawa kerajaan zalim telah melekat dalam jiwa kebanyakan rakyat.  Kerana dakwaan inilah orang Cina dan India bersama orang Melayu bersatu menentang kerajaan. Jika kerajaan yang ada hari ini tumbang, apakah tidak timbul masalah? Kita harus rasional mengakui bahawa pakatan pembangkang mempunyai dasar parti yang berbeza, bahkan bertentangan. Mereka hanya memiliki musuh yang sama. Tiada kesepakatan yang besar tentang bentuk negara yang bakal ditubuhkan nanti. Kerana kaum Melayu telah berpecah dua, pembangkang Melayu terpaksa mengharapkan sokongan kaum lain untuk menentang dan menubuhkan kerajaan baru. Ini akan mengakibatkan Melayu akan terpaksa berkongsi kuasa dengan bukan Melayu.
            Mungkinkah juga akan berlaku perebutan ghanimah (harta rampasan perang)?
Jika pembangkang Melayu ini tidak dapat melaksanakan isi-isi dasar yang mereka perjuangkan sejak berpuluh-puluh tahun dulu, di situlah masalah baru akan bermula, yang tiada dinding dapat menahannya. Di situlah akan bermulanya keruntuhan Melayu. Melayu akhirnya akan cuma menjadi kayu hulu kapak untuk menebang pokok kayu.
            Hakikatnya, Melayu yang berkuasa telah menyalahgunakan kuasa. Melayu yang ditindas telah bertindak melawan seperti marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Kerana marahkan kerajaan yang zalim, janganlah kita sanggup meruntuhkan negara dan bangsa sendiri. Akan tetapi, Jika dibiarkan kerajaan yang didakwa korup ini, maksiat dan kemungkaran terus bermaharajalela. Janganlah nanti yang dikendong berciciran, yang dikejar tidak dapat. Inilah persimpangan dan dilema orang Melayu di Malaysia untuk membuat pertimbangan politik.

TAHUN DEPAN DI JERUSALEM

EXODUS? Engkau tahu, sedari dulu kami bangsa buangan? Bangsa exodus. Bangsa penghijrah. Seluruh negara dunia dilimpahi migran anak-anak Israel. Meski rakyat dunia membuang kami, tiada siapa boleh nafikan kami warganegara dunia! Kami bertebaran seluruh dunia. Kami wujud di mana-mana.
Jerusalem, aku mimpi suatu masa nanti kami semua berkampung semula di sana. Hidup aman sejahtera di situ, shalom.
Kita bertemu di sentral kota KL, aku ingati lagi saat-saat dramatik itu, hingga kala kau mengakui jatuh hati padaku, dan aku menghancurkan semua khayalan indahmu itu. Saat-saat krusial itu aku dikirim merakam, melapor, dan menganalisis krisis sosial, ekonomi dan politik di sini. Penghujung 1998, KL kala itu marak dibakar api. KL sedang sakit. KL dikhabarkan bakal lebur. Krisis Dr. Mahathir-Anwar Ibrahim memuncak. Perusuh, pengkhianat, desprado, demagog, anarkis, dan oportunis politik berkeliaran sepanjang masa di sini. Aku juga manusia oportunis itu. Dan negara jiranmu sudah berantakan. Suharto tersungkur jatuh.
Entah kerana bibirku, yang mungil bisikmu, entah cuma kerana gejolak nafsu buasmu, engkau menyukai diriku. Tukasmu, aku perempuan berjiwa besar dan jelita. Berjiwa besar kerana aku pengembara. Cantik kerana mataku. Kau langsung memelukku, melafaz kata-kata ortodoks ini; I love you! Kala kau menyelongkar tubuhku malam-malam itu, tahulah aku, kau memang sudah hiper kronik dimabuk cinta. Cinta, cinta, cinta, kerananya engkau sasau dan nanar. Begitu cinta mengetuk pintu hatimu, aku jadi rimas dan menyampah. Aku bencikan manusia sentimental. Engkau lupa itulah kelebihanku dan kekuranganmu.
Berlagak seperti pemikir romantik, kaumohon aku tafsirkan falsafah cinta. Aku fikir, cinta itu cuma lamunan manusia sepi, cinta u-topia, cinta barang mewah. Aku ini bangsa buangan; diseksa Hitler gila, diusir, dicurigai di mana-mana. Aku tidak ada apa-apa. Kerana itu, aku harus menghadiahkan sesuatu pada bangsaku. Itu cintaku. Pedulilah jika kau mati kerana cintaku palsu, aku hidup demi perjuangan agung anak-anak Israel. Cinta tiada apa-apa erti sangat. Demi Yahweh, tuhan anak-anak Israel, aku telah mengangkat sumpah. Cinta agung menunggu. Hidup untuk bercinta dan bersedih, kaucarilah perempuan lain.
Pertama kali kaumenegurku, aku ingat lagi. Aku deskripsikan diriku seorang pengembara. Aku suka melihat dunia.
Traveller?
Ya, pengembara. Aku tak kekal di suatu titik, aku mesti mengalir terus. Dunia ini laluan nenek moyang kami sejak zaman Musa membelah Laut Merah, jelasku.
Kemudian kaubertanya lagi, siapa sebenarnya aku. Kataku, aku kelahiran Jerman.
Di mana?
Sama seperti Karl Marx, di Trier, Sungai Moselle, Prussia.
Kau bersemangat kala mendengar nama arkitek dan pemaju ideologi komunis itu.
Di sana, tanyamu, adakah Nazi masih ada pengaruh?
Tidak, tapi sesekali rusuhan Neo-Nazi terjadi, meski si gila itu sudah lama mampus. Kau tahu, nenekku korban Holocaust celaka? Steven Spielberg, kau tentu tahu siapa dia. Semua kisah tragik ini terakam dalam Schindler’s List.
Riak wajahmu kelihatan pura-pura simpati.
Tak mengapa, kerana Holocaust Eropah moden berasa berdosa, dan turut berusaha mengembalikan bumi Canaan. Bukankah kau tahu, kami mesti mengeksploitasi setiap kerugian?
Oh, kautahu semalam aku mimpi lagi anggur masam Bukit Zion?
Engkau mudah bosan mendengar mimpi-mimpiku. Engkau lalu berpaling, dan mengajak kita bertukar fikiran. Kau sebutkan Karl Marx, Sigmund Freud, hingga George Soros. Bertukar pengalaman keras dan lembut kehidupan. Kemudian bertukar merasai kelembutan dan kehangatan tubuh, lalu bertukarlah segalanya.
Esok dan esoknya, kita membahas persoalan politik, sosial, dan ekonomi. Engkau manusia radikal. Engkau akui sangat membenci pemerintah negaramu, yang kaugelar diktator dan pemeras darah rakyat itu. Kauimpikan suatu revolusi makbul di sini. Kau mengukuhkan impian menjadi pejuang agung bangsamu. Kalau boleh persis Che Guevara atau Jose Rizal. Kaumahu bangunkan kerajaan utopia di sini. Hujah-hujahmu sarat fikrah Marxis.
Di sini, dakwamu, kekayaan tidak diagih sama rata, tak dibahagi sama rasa. Di sini korupsi, kroni dan koloni, mencengkam. Lalu engkau berkhayal mewarisi perjuangan tokoh-tokoh syuhada silam. Engkau mahu berjihad melawan kekejaman dan penindasan. Kauimpikan suatu revolusi agung. Kau mimpi engkaulah wira penggeraknya. Kaulah heronya. Kau rela mati syahid kerananya.
Aku ketawa, engkau akan hancur berderai dengan perjuanganmu itu!
Sewaktu negara diamuk kebangkitan gerakan reformasi, engkau turut sibuk turun ke jalan-jalan, memimpin rakyat jelata, menuntut pimpinan tertinggi negara turun. Engkau merancang gulingkan kerajaan, bangunkan negara baru. Tidakkah engkau terjumpa buku The Beautiful Ones Are Not Yet Born, karya Ayi Kwei Armah? Mesejnya begini; Nasibnya serupa! Selepas Nkrumah tumbang di Ghana, naiklah diktator kejam lain, malah lebih kejam lagi. Tiada apa reformasi di Ghana selepas rampasan kuasa tentera itu. Situasi makin buruk, makin kacau, makin anarki. Apa manusia boleh buat dalam huru-hara? Engkau tak peduli, engkau bangun dan terus janakan energi dan kuasa mahasiswa dalam proses menggulingkan kerajaan. Negara jadi huru-hara, sedang sekarang engkau enak di sini, tidur denganku. Di mana perjuanganmu?
Kala gerakan reformasi padam apinya, kau merekrut anak-anak muda kalangan mahasiswa, membentuk satu gerakan militan. Kau mimpi rampasan kuasa berdarah golongan anak muda seperti Filipina atau Indonesia.
Kau lihat di sana kini, apa sudah jadi?
Kautahu? Bangsaku tentu senyum, kerana engkau turut menjayakan utopia kami; hancurkan seluruh Goyim, demi persediaan Raja Zionis memerintah empayar dunia. Kau lupa, anarki memberi keuntungan percuma pada kami.
Kala aku menunjukkan buah dadaku yang gebu, punggungku yang pejal, bibirku yang mungil, engkau menyerah kalah. Engkau persis saudagar-saudagar petroleum Arab, mudah lemas dirangkul perempuan lacur, mudah lupa segalanya.
Kala kau melepaskan kutang terakhirku malam itu, kuperingatkan, aku ini Yahudi. Kautersentak! Air mukamu tampak keruh. Dahimu dipercik peluh hangat. Yahudi? Yahudi, Yahudi, Yahudi, kerana kerakusan nafsu, kau tak peduli nenek moyang akulah subjek kutukan kitab peganganmu. Surah al-Baqarah sarat cerita kami. Yahudi tak boleh dipercayai. Yahudi pengkhianat nabi. Yahudi tak bertanggungjawab. Yahudi lintah darat. Yahudi berhati batu. Yahudi pembohong besar. Yahudi buta hati. Yahudi pengubah suai kitab Bible.
Sewaktu kau orgasm aku bersumpah: hancur Goyim!
Engkau angkuh mengakui dirimu pengerusi sebuah kelab kiri berbau sosialis di universitimu, dan aku percaya, dalam komunitimu menyusup manusia deviant, split personality, escapism, inferiority complex, skizofrenia. Engkau mendakwa pejuang rakyat terbanyak tetapi engkau bergaya dan berlagak seperti kaum elit – berseluar jenama levi Strauss, berkasut kulit, memakai perfume import ciptaan kami, yang harganya dibayar titik peluh orang tuamu di kampung. Hello, aku fikir, jikalau revolusimu itu terlaksana, engkaulah manusia pertama harus diadili. Aku percaya semua perjuanganmu hanyalah suatu eskapisme dan utopia orang muda.
Pejuang seperti engkaulah yang akan pertama sekali munafik jika ditawarkan kekayaan dan kemewahan.
Suatu saat kauagungkan ideologi komunis-sosialis-anarkis. Itu produk percuma rekaan kami untuk pemuda dilanda krisis identiti, dan dengan dos suntikan itu, mereka segera mereput. Mana mungkin slogan Freedom-Equality-Fraternity seperti kaulaungkan itu terjadi? Kamilah pencetus ungkapan ideal dan tak masuk akal itu. Argh, dalam protokol ke-9, perkara ini sahih dinukil Dr. Theodor Herzl, di Basle, pada Kongres Zionis pertama. Kau tahu bila? Itu lebih seratus tahun lalu.
Katamu, pengajianmu selesai tahun depan. Menceburi jurusan sains politik, menelaah buku dan pemikiran Harold J. Laski, pensyarah London School of Economics and Political Science, engkau khayal dirimu hebat. Hei, engkau tidak tahu, Harold J. Laski ahli jawatankuasa Fabian, satu cabang Zionis. Dia arkitek Zionis, perangka pemikiran politik dunia. Kemudian kautekuni kitab The Social Contract, Jean Jacques Rousseau, penganjur idea abad kelapan belas, idea kesamaan manusia menurut lumrah alam. Kautahu, siapa meniup inspirasi kepada Jean Rousseau, yang ideanya itu meletupkan bom revolusi di Perancis, tahun 1789? Dr. Kallen, seorang Yahudi. Dan Revolusi Perancis suatu anugerah besar. Revolusi itu mengiktiraf kebebasan sivil kaum Yahudi di Eropah Barat. Kau pelajari juga fikrah Dean Roscoe Pound, seorang Yahudi penganjur liberalisme.
Kaughairah kala kusebut nama Karl Marx, Engels, Lenin, Stalin. Kauimpikan kebangkitan suatu gerakan perjuangan rakyat teramai seperti anjuran mereka. Hello, kau tahu siapa mereka? Mereka semua ejen Yahudi. Mereka menyiapkan aturcara kebangkitan raja kuku besi berdarah Zionis.
Kami eksport Bob Dylan, Steven Spielberg, Stanley Kubrick, Karl Marx, Salem, Levi Strauss, Harisson Ford, Sigmund Freud, Samuel Beckett ke seluruh dunia. Kesannya merata. Di Central Market, kita berjalan-jalan, dan aku senyum kala terpandang idol Karl Marx pada baju seorang anak muda gelandangan. Di situ tertulis; religion is opium. Di lehernya tergantung rantai menyangkut medal bertulis: Anti-Christ. Kau tahu apa itu anti-Christ? Itulah Raja Zionis! Di tandas awam aku lihat grafiti; God is no more! Kita sama-sama lihat anak-anak muda bangsamu kritikal dijangkiti virus sosial – dadah, melepak, mencuri, menganggur, bergaduh, dan seks bebas.
Engkau cuba pengaruhi aku menyalami agamamu, dan kaugambarkan sudut kebenaran dan keluhuran Islam. Kita berbahas, jalannya buntu dan sesak. Bagaimana aku mahu mengikutmu? Islam? Oh, aku bencikan mereka, mereka menjarah bumi Canaan tercinta kami.
Aku lalu teringatkan khutbah rabai besar kami; penganut Islam jumud, gila dunia, hidup khayal, mabuk kuasa, seperti buih-buih di lautan.
Hei, boleh mampus mereka semua, aku menyumpah.
Kau sebenarnya bodoh. Kami, anak-anak Israel, sejak lama menguasai dunia ini. Kaulihat di mana-mana: semuanya Yahudi. Yahudi penguasa sebenar dunia ini. Kau tidak tahu, kami sedar kami tiada apa-apa. Kerana itu, kami mesti kuat. Misi Karl Marx, Nietzsche, Darwin, Machiaveli semuanya diilham dan disokong kami demi menjahanamkan puak Goyim.
Karl Marx? Katamu, Karl Marx idola agungmu. Hei, Karl Marx Yahudi totok, dibentuk menjadi arkitek revolusi agung di Rusia. Bukankah Karl Marx sahabat baik Jacob? Dan Jacob itu ahli Zionis kami. Dan kau agungkannya seperti nabi. Oh betapa tololnya kau.
Aku masih ingati benar ikrarku musim lalu; bahawa kami, cawangan pembangun bebas, Freemason, harus segera menjayakan gagasan Zionis sedunia.
Kautahu, dalam protokol ke-6 kami tertulis begini; “Tidak lama lagi kita akan mewujudkan monopoli-monopoli besar, empayar kekayaan, yang menjadi pergantungan kuasa-kuasa besar bukan Yahudi hingga ke suatu tahap mereka akan runtuh ditenggelami segala hutang-piutang, selepas berlakunya malapetaka politik.”
Demi mencetuskan malapetaka politik, kami hasut, taja, dan lobi politikus-politikus junior kemaruk kuasa di negara-negara Goyim. Kamal Attartuk contoh mudah! Kami hasut politikus muda mereka. Kami tanam dakyah dan propaganda dalam minda golongan muda dan bakal negarawan Goyim. Kami anjur konflik kelas, kami anjur pertentangan generasi. Kami tiup slogan besar yang sebenarnya kosong. Di kalangan kesatuan pekerja, kami gerakkan ideologi sosialis, khayalkan mereka dengan minuman keras, usulkan mereka mendesak kenaikan gaji, dan kami di sini naikkan harga barang.
Kami juga mencetuskan krisis ekonomi negara Goyim. Dokumen kedua puluh satu kami menyebut: “Krisis ekonomi negara Goyim yang dihasilkan kita, tidak lain, adalah melalui teknik penarikan wang dari edaran.”
George Soros sudahpun melakukan eksperimennya di Asia.
Duit sumber masalah manusia. Kerana lapar dan tiada pekerjaan, kekacauan akan mengambil tempat. Kau sudah tentu melihat penangannya di negara Asia. Semuanya berantakan, terpecah-belah habis. Indonesia, Filipina, dan Thailand. Malaysia, negaramu, hampir lumpuh angkara krisis ekonomi, melarat kepada politik. Malaysia nyaris ditundukkan IMF. Tidakkah kau membaca tulisan Dr. Mahathir Mohamad, Krisis Matawang Asia? Di dalamnya ada semuanya.
Apa kau lakukan untuk bangsa, negara, agamamu?
Kau hanya bercakap besar, hingga kau tak tahu apa kau ucapkan.
Di Sanhedrin, satu ratus tahun sekali pendeta-pendeta agung kami berkumpul atas makam Rabai Besar Simeon-ben-Ihuda. Kami bincangkan kejayaan dan pelan masa depan bangsa kami.
Kau tahu, bukan? Setiap kali berdoa, kami berikrar bertemu tahun hadapan di Jerusalem. Malam-malamku dibayangi mimpi-mimpi Jerusalem itu.
Bangsa kami hina, disisih, dihalau, dibunuh, dan diseksa. Bumi Canaan kami dijarah. Meski di mana kami berada dan dipencilkan, harapan kami satu: tahun hadapan di Jerusalem.
Ya, bertemu tahun hadapan di Jerusalem!
Kau tentu teraba-raba di mana aku kala ini. Kau tak mungkin menyentuhi tubuhku lagi. Bukankah sudah kukatakan, engkau cuma tempat persinggahan? Engkau seperti kota Singapura, Bangkok, Jakarta, Tokyo, atau kotaraya Asia lain musim-musim lalu! Semuanya transit.
Selamat  tinggal, pejuang gila. Selamat tinggal, reformis sasau. Selamat tinggal, idealis bingung. Selamat tinggal, pelamun nanar. Selamat tinggal, nasionalis sakit jiwa. Selamat tinggal, pemikir sewel. Selamat tinggal, pemberontak bahlul.
Hei, pesanku, berjuang dan berjihadlah lawan hawa nafsu serakahmu terlebih dahulu.
Apakah kaulupa kata nabimu kala pulang dari medan perang Badar? Katanya kita baru saja kembali dari peperangan kecil. Jihad paling utama jihad melawan hawa nafsu.
Usah pedulikan aku. Aku sudah mati, fikirlah begitu, jika kau mahu.
Aku kini menghala ke Jerusalem.

#Cerpen ini pernah memenangi tiga (3) hadiah sastera.
 1). Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2002-2003,
2). Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 2002, dan
3). Hadiah Sastera Kelantan 2002.
Tetapi atas sebab-sebab yang  tidak diketahui, cerpen ini tidak terdapat dalam antologi CINTA SEKERDIP EMBUN, antologi cerpen yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia dari edisi  tahun 1996-1997 hingga edisi tahun 2004-2005 (Hadiah Sastera Perdana Malaysia diadakan dua tahun sekali). Maka saya siarkan semula cerpen ini di dalam blog ini untuk tidak “menghilangkan” ia dari catatan sejarah sastera Malaysia.

DARI RAKYAT, OLEH RAKYAT & UNTUK RAKYAT


DEMOKRASI dikatakan suatu sistem terbaik dalam sejarah untuk memilih pemimpin atau negarawan menerajui pemerintahan sesebuah negara.
            Apakah demokrasi? Demokrasi bermaksud dari rakyat oleh rakyat dan untuk rakyat, diterjemahkan dari perkataan Yunani, demos kratos (kuasa rakyat). Ia bermaksud pemerintahan dari rakyat, dibuat oleh rakyat, dan ditujukan kepada rakyat. Ringkasan mudahnya ia sekular, tidak terlibat dengan unsur-unsur ketuhanan. Semuanya dari manusia, oleh manusia dan untuk manusia.
            Suara majoriti adalah tuhan (kebenaran) dalam demokrasi. Ini adalah hukum alam. Yang teramai akan mengalahkan yang lebih sedikit dalam pilihanraya, walaupun minoriti yang kuat boleh mengalahkan majoriti yang lemah (dalam kes rampasan kuasa). Demokrasi boleh diringkaskan kepada maksud: sesiapa yang dipilih secara majoriti sebagai pemimpin akan sah menjadi pemimpin.
            Jika majoriti rakyat mahu mengiktiraf berhala sebagai tuhan, maka sahlah ia (kerana ia dari undi majoriti rakyat).
            Bolehkah umat Islam mengambil parti sebagai jalan atau kaedah, dan bertanding dalam sisten pilihanraya, untuk memperjuangkan agama?
            Demokrasi adalah neutral; boleh jadi baik atau tidak baik hasilnya. Bergantung kepada pengundi. Jika majoriti pengundi berakhlak baik, konklusinya pemimpin berakhlak baiklah yang diangkat sebagai pemimpin. Akhlak pemimpin adalah gambaran, cerminan atau refleksi akhlak masyarakat akar-umbi di bawah.
            Maka, memenangi majoriti undi rakyat adalah tujuan utama dan terpenting dalam sistem demokrasi. Rakyat boleh menyokong sesebuah parti, tetapi tidak bermakna rakyat akan mematuhi ajaran atau dasar-dasar yang dibawa parti. Parti politik boleh menyatukan undi. Undi boleh saja didapatkan dari orang yang hanya menyokong tapi tidak mengikuti dasar-dasar parti. Pelacur, penipu, perasuah atau penjudi dikira sah mengundi dalam sistem demokrasi
 Ini tidak selari dengan misi politik yang dibawa nabi Muhammad saw untuk mengubah masyarakat. Orang-orang yang mengikuti baginda adalah orang yang bertaut hatinya kerana Allah swt, yang akhlak mereka mengikut al-Quran dan sunnah nabi saw sepenuh hati.
            Parti politik dapat menguatkuasakan undang-undang kepada rakyat jika memenangi pilihanraya, tetapi ia tidak dapat mengubah akhlak masyarakat. Dakwahlah yang akan mengubah akhlak masyarakat. Sebaliknya, dalam demokrasi, rakyat yang telah mengubah parti politik. Jika parti politik tidak menuruti kehendak masyarakat, ia akan kalah. Maka parti politik akan mengadaptasikan diri dengan kehendak-kehendak masyarakat. Ini tidak sama dengan jalan nabi-nabi terdahulu yang mengubah masyarakat dengan dakwah. Nabi tidak mengubah prinsip agama hanya kerana ingin memenangi rakyat. Pemimpin agung mengubah rakyat, bukan diubah oleh rakyat.
            Politik nabi Muhammad Saw adalah mendakwah dan menyebarkan ajaran Islam kepada masyarakat melalui contoh teladan baginda sendiri, sehingga Islam menjadi cara hidup (addin, budaya dan semuanya tentang kehidupan manusia) kerana agama itu adalah berkenaan akhlak. Islam nabi saw bukan hanya di mulut dan ceramah.  Semenanjung Tanah Arab yang jahil dan zulmat menjadi terang rohaninya kerana dakwah. Semua ini bukan dilakukan dengan undang-undang (negara), tetapi kerana masyarakat meredhai dan menerima kebenaran Islam. Undang-undang (negara) hanyalah untuk melindungi rakyat. Tamsilkan kawanan kuda liar; Islam menjinakkan kuda, bukan membina pagar. Pagar hanya dibangunkan apabila kuda sudah dijinakkan untuk mengelakkan serangan serigala.
            Makna di sini, Islam tidak perlukan jalan parti politik untuk menegakkan agama, bahkan negara Islam akan tertegak secara automatik jika setiap orang Islam berakhlak seperti pengikut-pengikut nabi suatu masa dulu.
Islam sudah ada kaedah politiknya sendiri, iaitu dakwah; memenangi majoriti rakyat dengan dakwah. Apabila akhlak Islam menjadi budaya masyarakat, selesailah semua masalah. Masalah akhlak tidak boleh diselesaikan dengan parti politik.
            Masalah teras yang sebenarnya adalah begini: parti politik memilih kuasa untuk melaksanakan Islam melalui negara. Nabi Muhammad saw memasyarakatkan Islam untuk menegakkan negara. Nabi menghidupkan api (agama) untuk menerangi alam. Parti politik mencari cahaya untuk menghidupkan api, sedangkan cahaya tidak boleh didapati jika tidak dihidupkan api. Nabi bermula dari bawah, iaitu individu kepada negara. Parti politik bermula dari negara kepada individu. Maksudnya, parti politik mahu melaksanakan Islam dengan mengambilalih negara. Tapi bagaimana negara Islam akan terbina jika individu-individunya tidak berkualiti Islam?
            Parti politik boleh berhujah yang mereka juga berdakwah untuk memenangi rakyat. Tetapi kerana mereka lebih mengutamakan tujuan (negara Islam), mereka sesat jalan dan terperangkap dalam tong najis demokrasi tajaan dan anjuran Yahudi dan Nasara. Tangan kanan Yahudi dan Nasara mempromosikan sistem demokrasi, tangan kiri pula mendakwah seluruh umat manusia mengikuti agama (budaya hidup) mereka melalui setiap aspek kehidupan. Maka majoriti yang terperangkap dalam lubang biawak Yahudi dan Nasara inilah yang akan memenangkan pemimpin berakhlak seperti mereka.
            Itulah demokrasi. Suatu hukum alam yang memenangkan pihak majoriti.
Kenyataannya: Nabi Muhammad saw mengubah akhlak masyarakat tanpa parti atau menyertai suku-suku kaum tertentu. Beliau menyatukan semua parti (suku-suku kaum) dengan dakwah Islam. Politikus boleh menguatkuasakan undang-undang, tetapi ia tidak dapat menahan rakyat dari melanggar undang-undang tersebut.
Renungkan ayat ini sebagai iktibar: Dan bahawa (yang kami perintahkan ini) adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, janganlah kalian mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu membawa perpecahan kepada kalian dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan oleh Allah kepada kalian agar kalian bertakwa (al-an’aam: 153)
            Juga hadith dari Abdullah bin Mas’ud: Rasullah saw membuat garis dengan tangannya, kemudian bersabda: “ini jalan Allah yang lurus”, lalu beliau membuat garis-garis di kanan dan kirinya, kemudian beliau bersabda: “ini adalah jalan-jalan yang bercerai-berai (perpecahan yang sesat), tidak satupun dari jalan-jalan ini kecuali di dalamnya terdapat syaitan yang menyeru kepadanya”. Kemudian beliau membaca firman Allah ta’ala: Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, kami biarkan ia leluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan kami masukkan ia ke dalam jahanam, dan jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali (riwayat Imam Ahmad, ad-Darami, al Hakim, dihasankan oleh al-albani.)

HAK ASASI, KEBEBASAN & AGAMA

APAKAH yang sebenarnya dimaksudkan dengan hak asasi manusia dan kebebasan? Secara kasar, ia difahamkan sebagai setiap individu adalah bebas asalkan tidak melanggar hak-hak individu lain.
Individu bebas tetapi tidak melanggar hak individu-individu (masyarakat) lain?
Pernyataan ini nampak harmoni dan indah dari segi teori, tetapi praktikalnya bagaimana? Apakah ia tidak kontra? Apakah ukuran bebas itu? Apakah hak asasi manusia menurut tafsiran moden dan Barat? Ambil contoh paling mudah dan ringkas. Misalnya seorang individu itu bebas berpakaian apa sekalipun.
Dan mari kita renungkan realiti di sebaliknya.
            Sebenarnya hak asasi manusia ini hanya menghidupkan budaya hawa nafsu (hedonisme) dan pemujaan akal dalam diri manusia, terlepas dari ikatan agama atau moral. Kebebasan didalilkan sah selagi tidak mengganggu individu lain. Sebaliknya hak asasi manusia sebenarnya menafikan hak masyarakat. Berpakaian separuh bogel di Barat adalah hak asasi manusia. Gangguan seksual dikatakan terjadi hanya apabila seorang wanita diperlakukan dengan kata-kata, isyarat atau tindakan lucah. Itu dikatakan gangguan seksual mengikut tafsiran Barat hari ini. Jika tidak difikirkan, pernyataan ini nampak benar.
            Hakikatnya tuhan telah menjadikan manusia memiliki naluri seks semulajadi yang tidak boleh diubah. Lelaki yang normal akan terangsang apabila melihat tubuh wanita yang terdedah (aurat). Manakala fesyen yang mendedahkan tubuh pula dianggap hak asasi manusia, malah jika sanggup berbogel sekalipun. Jadi di mana hak masyarakat yang terangsang apabila melihat aurat yang terdedah itu? Tidakkah ini sebenarnya yang sepatutnya dianggap gangguan seksual? Tidakkah mereka yang berpakaian seksi itu yang menganggu seksual lelaki lain dan harus dikenakan hukuman?
            Apabila kita berjuang mempertahankan hak masyarakat, ini akan dikatakan mengongkong hak asasi manusia, dan tidak bertamadun.
Sebaliknya, memakai purdah bagi wanita adalah suatu kesalahan di sesetengah negara Barat. Dan Barat diagung-agungkan sebagai mercu tanda dan ikonik negara moden dan maju.
Hak asasi manusia anjuran Barat, yang ditandai dengan kebebasan, sebenarnya banyak merosakkan. Atas nama kebebasan hak asasi manusia, zina, judi, perkahwinan sejenis, arak disahkan halal di sisi undang-undang mereka. Agama-agama baru dan ajaran sesat juga didaftarkan sebagai sah atas nama hak asasi. Fenomena ini sedang menuju ke sebelah sini, dan ia sedikit demi sedikit telah menghakis nilai-nilai agama masyarakat dunia atas nama hak asasi manusia.
Mengapakah tidak diharamkan saja fesyen yang mendedah aurat? Ia punca banyak jenayah seksual. Bagi yang masyarakat awam, mereka akan dikalahkan dengan hujah bahawa di Barat perempuannya berpakaian seakan-akan bogel, tetapi kes rogol tidak banyak. Penghujah ini lupa bahawa di Barat pelacuran adalah halal di sisi undang-undang. Lagi mereka berhujah, mangsa rogol bukanlah semuanya berpakaian seksi. Hakikatnya seorang perogol yang dimotivasikan seks tidak mengira seksikah mangsa yang bakal dirogolnya, tetapi memikirkan peluang untuk merogol sekalipun bakal mangsa berselimut litup.
Jika hak asasi manusia dipertuhankan, hancurlah masyarakat. Hak asasi manusia ini hanya menurut pertimbangan akal yang mengarah kepada nafsu dan akal logik.
Bertamadunkah Barat yang pada dasarnya kesedaran hak asasi mereka tinggi? Mereka hanya sentiasa membesarkan baldi untuk menadah air dari paip yang bocor, tetapi tidak membaiki paip tersebut. Satu kerja gila, bodoh dan sia-sia. Atas nama hak asasi manusia, mereka menghalalkan seks bebas (pelacuran), judi, arak dan lain-lain, dan mengenakan cukai ke atas semua industri itu untuk pembangunan masyarakat. Tetapi belanja yang dikeluarkan untuk membaiki kerosakan yang dihasilkan gejala sosial tadi adalah lebih besar berbanding hasil cukai yang dikutip. Itulah kebodohan dan kejahilan tamadun moden.
Barat boleh mengajar pendidikan seks. Misalnya, pentingnya penggunaan kondom dalam aktiviti seks bebas untuk mengelakkan penyakit kelamin atau kelahiran anak luar nikah. Tetapi mereka tidak dapat menahan runtuhnya institusi kekeluargaan, kerosakan moral atau hilangnya tanggungjawab akibat seks bebas, yang akhirnya akan merosakkan keseluruhan struktur masyarakat.
            Bagaimanakah seharusnya menggubal undang-undang untuk menjamin hak-hak masyarakat? Sumber agamalah yang sepatutnya mengambil  tempat. Bukannya akal manusia yang cenderung kepada nafsu yang membawa kepada kerosakan, malah akal manusia ini saling bertentangan satu sama lain sehingga tidak mencapai kata muktamad.
            Setiap agama mengajar sesuatu yang luhur dan murni. Moral setiap agama adalah sama. Judi, zina, minum arak, seks sejenis, dan benda-benda negatif lain adalah haram,  terlarang dan terhina. 
Mengapakah hal-hal yang tersebut di atas tidak dapat digazetkan sebagai kesalahan jenayah dan dikenakan hukuman, sebagaimana kita mengharamkan dadah, sedangkan setiap agama melarangnya?  Masyarakat hanya melihat sesuatu yang zahir. Misalnya dadah. Kerosakannya adalah jelas, iaitu ketagihan yang memudaratkan dan ibu kepada jenayah lain seperti jenayah ragut, walhal kerosakan jiwa disebabkan arak adalah juga besar. Kerana itu dalam hukum agama, arak itu haram. Malah dalam agama Islam, arak itu termasuk antara tujuh dosa besar.
Malangnya, apabila kita cuba mengharamkan arak, ini akan dikaitkan dengan agama Islam semata-mata, padahal semua agama melarang para pengikutnya meminum arak.
Kita semua kini sedang dihancurkan oleh budaya hedonisme yang menyerap masuk dengan slogan-slogan indah. Kita sedang diglobalisasikan (dimatasatukan) dengan budaya-budaya berteraskan hawa nafsu yang tidak akan klimaks. Perumpamaan manusia hari ini mengejar nafsu  adalah seperti mengejar bayang-bayang, tiada mungkin bayang-bayang dapat digenggam.
Maka tidak hairanlah jika orang yang betul-betul mengamalkan prinsip-prinsip agama akan dianggap aneh, pelik dan mungkin gila. Renunglah hadith ini:
“Islam itu bermula dalam keadaan asing (aneh), kelak ia akan kembali asing (aneh) sebagaimana ia bermula. Maka berbahagialah mereka yang asing (aneh).”
Islam telah dimomokkan sebagai mengongkong hak asasi manusia dan antitamadun, sedangkan undang-undang dan peraturan dalam Islam itu melindungi  dan menahan manusia dari hak-hak individu yang merosakkan.
Kebebasan atau hak asasi manusia hanyalah suatu slogan yang berbunyi indah, tetapi maksudnya merosakkan.
Tujuan akhir tuntutan atas nama hak-hak asasi manusia ini adalah melucutkan akal waras manusia, menjadikan manusia seperti haiwan yang mempertuhankan nafsu, dan kemudiannya melucutkan agama dalam kehidupan. Hak asasi manusia sebenarnya adalah dunia tanpa campurtangan tuhan dan manusia bebas mengikuti akal dan nafsu mereka. Mereka datang melalui kesedaran berpolitik mengikut acuan demokrasi, kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun dan segala macam bentuk kebebasan lagi, bahawa setiap manusia bebas memilih. Inilah kenyataan yang sedang kita hadapi.